Tuesday, November 8, 2016

Penuhi Tuntutan Rasulullah SAW Memanah Sunnah


“Dan hendaklah kalian persiapkan kekuatan (yakni memanah) untuk (melawan) mereka (musuh-musuh Islam) apa yang kalian mampu daripada kekuatan serta berupa pemeliharaan kuda. Dengannya kalian dapat menakuti musuh Allah dan musuh kalian serta musuh-musuh lainnya selain mereka, tidaklah kalian mengetahui mereka, namun Allah yang mengetahui mereka.

“Dan tidaklah kalian menginfakkan sesuatu di jalan Allah, melainkan pasti akan digantikan (balasannya) kepada kalian, dan kalian tidak akan dizalimi.” (Al-Anfal: 60)
Hikmah memanah yang dituntut Allah sebagaimana tercatat dalam surah Al-Anfal, mengikat jiwa tiga sahabat karib, Muhammad Nazim Ab Ghani, Mohd Zaironizam Daud dan Mas Ilmi Masri untuk bersatu hati bagi mengembangkan aktiviti memanah di nusantara Melayu ini.
Melalui memanah ada kekuatan, begitulah sabda Rasulullah SAW betapa memanah, berkuda dan berenang antara pendidikan yang perlu dititikberatkan pada generasi muda. Apatah lagi, pada era digital sekarang krisis moral menimpa remaja bertambah kronik.
Apa makna seorang pendekar jika bertarung tanpa keris? Samalah juga seseorang yang minat memanah tetapi tiada busur dan anak panah. Inilah yang mencetuskan idea kepada Nazim, Zaironizam dan Mas Ilmi untuk menubuhkan Arrouha Sports & Outdoors sebagai pengeluar busur dan anak panah produk tempatan, berbanding sebelum ini senjata itu hanya diimport dari luar negara.
Lokasi di Taman Sri Nanding di Hulu Langat, Selangor, sekalipun baru dua tahun beroperasi Arrouha Sports & Outdoors (ASO) sudah mengeluarkan ratusan busur dan ribuan anak panah serta melatih ratusan remaja termasuk di Indonesia teknik memanah dengan betul.
Selaku pengasas, Nazim menyifatkan sejajar dengan peribahasa melentur buluh biar daripada rebungnya, aktiviti memanah sesuai diterap ke dalam jiwa kanak-kanak bagi membina jati diri, sekali gus menggelak mereka leka dengan pelbagai permainan di aplikasi telefon pintar.
“Banyak barokah di sebalik aktiviti memanah ini, selain mengikut saranan Rasulullah memanah membina kekuatan pada otot, membaiki sistem pernafasan, melatih fokus, memperbetulkan dan pembaikan tulang belakang postur yang baik,” katanya.
Apa yang membanggakan Nazim, selain Melayu terdapat juga masyarakat Cina dan India mula berjinak dengan aktiviti memanah.
“Sama ada Melayu, Cina dan India, masing-masing ada sejarah kepahlawanan mereka yang ada kaitan dengan memanah. Seawal usia anak-anak itu tiga atau empat tahun sudah mampu memegang dan menarik busur, malah ada yang berusia 80 tahun pun masih mampu.
“Aktiviti memanah ini tetap kami teruskan seperti biasa sepanjang Ramadan nanti. Cuma jika ia dilakukan pada waktu malam, lokasi memanah disediakan ‘sportlight’ bagi memudahkan pemanah membidik sasaran,” katanya.
Seorang lagi pengasas, Mohd Zaironizam (Zairol) Daud menyasarkan tempoh setahun dua lagi memanah akan menjadi aktiviti paling digemari tanpa batasan usia, apatah lagi sokongan pihak masjid dan surau kini kian positif terhadap aktiviti ini di kariah masing-masing.
“Kami baru selesai menganjurkan kursus kejurulatihan memanah selama tiga hari dua malam di Kompleks Rakan Muda, Sementa, Klang.
“Yuran dikenakan RM340 termasuk makan minum dan penyertaan diterima amat baik dengan 80 peserta hadir bukan saja dari Lembah Klang tetapi dari Sabah dan Sarawak.
“Pada jurulatih inilah disandarkan harapan supaya mengembangkan lagi aktiviti memanah ini,” katanya.
Untuk info berguna pada peminat aktiviti memanah, kata Zairol pihak ASO buat julung kali menerbitkan buku Fadhilat Memanah dan Berkuda karya Syeikh Sufian Nur Marbu Al-Banjari Al Makiki yang dijual pada harga RM20 (Semenanjung) dan RM25 (Sabah dan Sarawak).
Bagi mendapatkan berkat permainan sunah ini kata Ilmi Masri pula membulatkan tekad mereka mengabadikan nama ‘arrouha’ itu.
“Arrouha salah satu nama busur milik Rasulullah SAW. Jenama tempatan ini baru setahun jagung tetapi mula diberi perhatian kalangan pemanah. Saya berharap suatu hari kelak Arrouha setanding dengan produk luar yang dapat memahatkan nama Malaysia,” katanya.
Jenama busur terkenal dunia seperti Saluki dari Amerika Syarikat ; Kaya (Korea Selatan), Ali Bow (China) dan Grozer (Eropah). Di antara jenama itu Saluki paling mahal iaitu RM10,000 mengambil masa 10 tahun bagi menyiapkannya. Kos Arrouha dari RM160 hingga RM500 saja.
Menurut Ilmi, demi mendekatkan masyarakat sejagat pada aktiviti memanah harga busur RM500 itu adalah harga pengenalan kerana harga sebenar RM1,500. Bagi Arrouha tidak timbul soal rugi sekiranya berpandukan peribahasa Inggeris; “be penny wise and pound foolish.”
“Sejajar imej moden, X-One menjadi produk busur terbaru kami. Nama itu dipilih melalui pertandingan yang dibuka di laman sosial Arrouha sejak 30 April lalu, dengan mendapat 3,000 penyertaan. Harga busur X-One RM1,600 tetapi harga pengenalan RM590 saja,” katanya.
Nama pahlawan Melayu tidak disisihkan, diabadikan pada busur berjenama Anak Awan (Hang Nadim), Jati Tunggal (Megat Panji Alam) dan Rentas Penchala (Raja Ali Haji) yang dikeluar pada 2012 namun hanya 100 busur saja kerana payah memanah ketika berkuda.
Bagi peminat memanah, aktiviti Arrouha boleh diikuti di www.arrouha.com atau e-mail : support@arrouha.com.
Natijahnya, dakwah Rasulullah itu sukses kerana kesetiaan sahabat baginda sebagai tunjang utama dan tidak mustahil Arrouha juga sama kerana menyorot latar pengasasnya, ketiga-tiga mereka bersahabat sejak di UiTM, Arau, dan bekerja di syarikat minyak dan gas.
Bagi Nazim, dia dan dua sahabatnya itu tidak terkilan meninggalkan pekerjaan sebagai jurutera untuk menjadi pengusaha busur.
“Aktiviti sunah ini ada ganjarannya di sisi Allah. Harapan saya agar memanah dan berkuda ini dapat dimanfaat masyarakat kita kerana Rasulullah SAW mengulangi sebanyak tiga kali betapa dalam memanah itu ada kekuatan, justeru kita fikirkanlah rahsianya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:01 AM
IMG_1558IMG_1559
IMG_1475IMG_1472










Zairol Daud

No comments:

Post a Comment