Arrouha® Group Malaysia menerajui dalam industri PEMBUATAN BUSUR PANAH TRADISIONAL yang beroperasi di Hulu Langat, Selangor. Kepakaran kami adalah didalam industri pembuatan busur panah tradisional dan set busur panah yang bersesuaian yang digunakan secara meluas oleh ramai PEMANAH dan ahli sukan serta golongan pelajar baik di MALAYSIA dan luar negara. Memanah Sunnah - Busur Panah - Memanah dan Berkuda
Tuesday, November 8, 2016
Seni Memanah Dari Turkey
Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
Oleh Mahfuz Mohamad
Foto Mohd. Farizwan Hasbullah
MOHD. ZAIRONIZAM bersama tiga rakannya mewujudkan Arrouha bagi memberi peluang kepada peminat sukan memanah tradisional mendapatkan busur berkualiti pada harga rendah.
MEMPUNYAI minat mendalam terhadap aktiviti memanah tradisional, tiga orang sahabat akrab bertekad untuk menghasilkan sendiri peralatan tersebut.
Selain minat, faktor harga busur import yang tinggi dan sebahagian bahan asasnya diperbuat daripada sumber haram juga merupakan sebab mereka berbuat demikian.
Bermula dengan hanya melakukan kerja-kerja pembuatan busur di rumah pada tahun 2012, Mohd. Zaironizam Daud, 37, bersama dua lagi rakannya mempelajari cara-cara asas pembuatan alat tersebut di laman sosial video, YouTube.
Selepas beberapa tahun menghasilkan busur dan anak panah di rumah, mereka membuat keputusan untuk berpindah ke lokasi lain dengan menyewa sebuah kedai di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor yang terletak tidak jauh dari kediamannya sejak bulan Mac lalu.
“Kami baru sahaja berpindah ke bengkel ini sejak awal tahun 2015 kerana ruang di rumah sangat terhad. Kami memerlukan tempat lebih luas untuk menghasilkan busur dalam kuantiti banyak berikutan permintaan semakin meningkat.
“Perkara yang mendorong kami membuka bengkel ini ialah busur di pasaran kebanyakannya diimport dan harganya agak mahal. Jadi, kami membuat keputusan untuk menghasilkan sendiri peralatan utama tersebut.
“Selain itu, terdapat beberapa peralatan memanah yang diimport dari luar negara menggunakan kulit babi pada bahagian gagang atau pemegang busur.
“Ia menyukarkan peminat sukan ini mendapatkan peralatan yang sesuai,” katanya ketika ditemui di bengkelnya baru-baru ini.
Menurut Mohd. Zaironizam, selain mempelajari teknik asas pembuatan busur dalam talian, mereka turut terbang ke Turki bagi mendalami ilmu tersebut.
Ini kerana negara dua benua itu dikenali sebagai pencetus dalam seni memanah tradisional sejak zaman kegemilangan Islam.
Tiga sahabat lulusan kejuruteraan dari Universiti Teknologi Mara tersebut juga berkunjung ke Malang, Jawa Timur, Indonesia bagi berkongsi aktiviti memanah tradisional dengan masyarakat di situ.
“Ketika di Turki, banyak ilmu yang kami peroleh kerana negara tersebut merupakan antara pusat tumpuan penghasilan busur tradisional.
Buku lama
PEMILIHAN anak panah perlu bersesuaian dengan jenis busur yang digunakan.
“Selain itu, kami merujuk buku-buku lama daripada zaman empayar Uthmaniyah mengenai seni memanah dan penghasilannya ,” ujar jurutera dari Pulau Pinang itu.
Terdapat beberapa jenis bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan busur seperti kayu, buluh dan gentian kaca berkualiti tinggi. Penggunaan bahan-bahan tersebut bergantung kepada spesifikasi peralatan yang ingin dihasilkan seperti jenis, saiz dan kekuatan daya tarikan.
Kebanyakan material kayu yang digunakan dalam penghasilan busur tersebut terdiri daripada resak, cengal dan petai kerana ia mudah didapati dalam negara.
Jenis-jenis busur yang mereka hasilkan terdiri daripada tiga kategori iaitu Jati Tunggal, khusus untuk orang yang baru berjinak-jinak dengan sukan memanah; Anak Awan, bagi pemanah biasa dan Lela Kenchana khas kepada golongan kanak-kanak berusia empat tahun ke atas.
“Setiap busur yang dihasilkan akan melalui proses penyelidikan dan pembangunan selama lebih kurang satu tahun bagi memastikan kualiti serta kesesuaian alat tersebut untuk digunakan oleh golongan pemanah tertentu."
“Perbezaan busur yang kami hasilkan berbanding produk negara lain ialah dari segi material dan bentuknya. Negara luar banyak menggunakan buluh dan tanduk sebagai bahan asas di samping bentuk lebih melengkung untuk mendapatkan daya tarikan lebih kuat,” terang pengasas bersama Arrouha Sports and Outdoors (Arrouha), Muhammad Nazim Abdul Ghani.
Dihasilkan dengan sangat teliti, Muhammad Nazim memberitahu, busur tradisional mempunyai tiga komponen utama bagi membentuk alat tersebut seperti siyah iaitu bahagian hujung busur, gagang atau pemegang di tengah dan lengan yang menjadi penghubung antara dua siyah.
Masa yang diambil bagi menghasilkan sebuah busur adalah lebih kurang satu hingga dua minggu bergantung kepada jenis peralatan tersebut.
“Langkah-langkah awal menghasilkan busur ini ialah memotong kayu bagi membentuk siyah serta gagang sebelum disapu gam untuk dilekatkan pada bahagian lengannya selepas dilenturkan menjadi sedikit melengkung.
“Selepas dicantumkan ketiga-tiga bahagian tersebut, busar akan dibiarkan selama tiga hingga tujuh hari untuk memastikan gam tadi betul-betul kering,” jelasnya.
Aspek terpenting
MAS ILMI menunjukkan cara-cara membuat anak panah menggunakan peralatan khas.
Kemudian, ia akan dikemaskan dengan melicinkan permukaan busur sebelum dibalut menggunakan kulit lembu pada bahagian gagang bagi memberikan keselesaan ketika memanah.
Tambahnya, aspek terpenting pada busur ialah daya tarikan tali dan ia diukur melalui alat khas bagi mengetahui kekuatan yang diukur dalam unit paun.
Tidak lengkap sekiranya sesuatu busur tanpa kehadiran anak panah dan Arrouha turut menghasilkan komponen tersebut yang diperbuat daripada kayu apabila mendapat permintaan pelanggan.
Menurut seorang lagi rakan kongsi Arrouha, Mas Ilmi Masri, terdapat beberapa jenis anak panah di pasaran dan ia dikategorikan mengikut bahan-bahan asas yang digunakan untuk menghasilkannya seperti kayu, buluh, gentian kaca, karbon serta aluminium.
Tambahnya, setiap jenis anak panah mempunyai kelebihan tertentu bergantung kepada penggunaan tahap kemahiran pemanah dan jenis busur.
“Anak panah yang kami hasilkan menggunakan kayu daripada pokok kembang semangkuk kerana ia mudah dibentuk. Begitupun, kami hanya membuatnya apabila terdapat permintaan.
“Pemilihan anak panah tidak boleh dibuat sesuka hati kerana ia bergantung kepada tahap kelenturannya atau spine iaitu semakin rendah spine sesuatu anak panah maka, seseorang pemanah perlu menggunakan busur yang mempunyai paun tinggi dan begitu juga sebaliknya,” katanya.
Arrouha turut menyediakan perkhidmatan latihan memanah terutamanya kepada individu yang baru berjinak-jinak dalam sukan berkenaan.
Sementara itu, harga ditawarkan bagi setiap jenis busur adalah sekitar RM159 hingga RM400 berbanding barangan import yang mampu mencecah ribuan ringgit.
Kesemua busur yang dihasilkan adalah tertakluk kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 yang tidak memerlukan sebarang permit atau lesen daripada mana-mana pihak untuk memilikinya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3vjUX9uRx
Hakcipta terpelihara
Arrouha Sports and Outdoors
No 22, Jalan Mutiara 4/2, Tmn Sri Nanding, 43100 Hulu Langat, Selangor
Mohd Zaironizam Bin Daud
Muhammad Nazim Bin Abdul Ghani
Mas Ilmi Bin Masri
Tahun ditubuhkan: 2012
Website: http://www.arrouha.com http://mybusur.com
No Telefon: +60192781829
Email : zaironizam@gmail.com
Facebook: Arrouha Sports and Outdoors
Facebook: Busur Jati Tunggal
Facebook: Busur Anak Awan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment